Thursday, 28 March 2013

Lawatan Tapak Pantai Timur Semenanjung Malaysia - Bahagian 3


Lawatan Tapak Pantai Timur Semenanjung Malaysia - Bahagian 3



Perjalanan mencari perkampungan tradisional masyarakat Melayu diteruskan oleh penyelidik TAMAN. Hari ini mereka semua berada di Kuala Terengganu. Apa yang menariknya para penyelidik TAMAN berjaya mendapat rumah yang sedang di dalam proses pemulihan oleh Muzium Terengganu yang berusia lebih dari 100 tahun berserta dengan beberapa rumah yang sezaman dengannya.
Tarikh        : 28 Mac 2013
Lokasi       : Kuala Terengganu (Kg. Losong)

Para penyelidik TAMAN telah ke Muzium Terengganu untuk mencari maklumat berkenaan masyarakat Melayu Terengganu.
Rumah tradisional yang dipamerkan di dalam kawasan muzium sangat informatif kepada para penyelidik TAMAN .
Rumah tradisional Terengganu yang sememangnya unik dan dapat memberi ilham kepada perekabentuk dalam merekabentuk taman/halaman bersepadanan dengan budaya masyarakat setempat.
Tahukah apa bangunan ini???Ianya adalah tandas. Kalau di kawasan rumah tradisional lama ia seolah-oleh seperti  kepok padi tetapi di Muzium Terengganu perekabentuk adalah sangat kreatif kerana mampu adaptasi senibina budaya masyarakat walaupun kepada tandas.
Muzium Terengganu yang tersergam indah dengan senibinanya. Persoalan disini ialah mengapa Muzium Negara tidak direkabentuk sebegini rupa supaya lebih menarik minat para pengunjung??? Mungkin suatu masa yang sesuai agaknya..
Rumah Allahyarham Hj Su yang siap dibina pada tahun 1850 oleh tukang Melayu dan dikatakan mengambil masa selama 10 tahun untuk menyiapkannya. Senibinanya mengikut kepada rumah Limas Belanda dan Bujang Berpeleh
Kembar Tiga.
Rumah ini sudah tidak berpenghuni dan telah dibeli oleh Muzium Terengganu untuk dibaikpulih.  Rumah agam ini mempunyai dua bangunan yang dibangunkan mengikut era tertentu. Ini dapat dilihat daripada bangunan dibelakang mempunyai senibina yang tidak sama dengan bangunan di bahagian hadapan dan ianya diakui oleh waris pemilik rumah ini sendiri tentang terdapat 2 rekabentuk yang berlainan. Rumah belakang dianggarkan telah berusia lebih 150 tahun dan rumah depan dianggarkan berusia hampir 90 tahun.
Mengikut kepada waris pemilik rumah ini antara sebab mengapa rumah ini bertiang tinggi ialah banjir dan ini juga menjadi sebab mengapa kebanyakan rumah-rumah tradisional lama mempunyai sampannya sendiri. Rumah ini dibuat daripada kayu cengal. Rumah ini dikelilingi oleh pagar buluh cina. Tumbuhan lain yang masih kekal hingga kini ialah pokok pelam dan jambu.
Guri yang telah diterbalikkan. Semasa lawatan dijalankan ia menjadi tempat mengeringkan ubi kayu. Bagaimanapun guri adalah salah satu elemen landskap budaya Melayu dan kebanyakan rumah tradisional lama di Semenanjung Malaysia mempunyainya di halaman rumah.
Lagi terdapat guri yang besar di halaman rumah walaupun ianya sudah tidak digunakan lagi.
Perigi air yang sudah tidak digunakan lagi tetapi menepati elemen landskap taman Melayu.
Kereta jenama Dodge yang dimiliki oleh pemilik rumah ini. Bagaimanapun ianya tidak diselenggara dan dalam keadaan yang sangat buruk. Jika dilihat kepada jenama kereta ini kita dapat congak betapa mewahnya pemilik kereta ini pada suatu ketika dahulu.
Tapak tandas luar rumah yang sudah tidak digunakan lagi kerana ianya telah dirobohkan.
Alatan-alatan tradisional masyarakat Melayu seperti lesung padi dan papan congkak lama masih terdapat di dalam kawasan rumah agam ini.
Para penyelidik TAMAN bergambar kenangan di dalam halaman rumah agam  Allahyarham Hj Su ini. Mungkin pada suatu masa kita dapat lihat rumah ini tidak lagi seperti yang kita dapat lihat pada hari ini.
Rumah milik En Abdul Ghani bin Embong ini terletak berhadapan dengan rumah Allahyarham Hj Su. Rumah ini adalah seiras dengan rumah bahagian depan rumah Allahyarham Hj Su. Ini adalah kerana En Abdul Ghani ialah cucu kepada Allahyarham Hj Su dan ianya dibina seusia dengan bangunan tersebut. Halaman rumah ini sangat luas dan tidak pernah ditanam dengan tumbuhan sejak pembinaannya.

Rumah ini masih digunakan oleh pemilik dan anak-anak. Ia masih kukuh dan pada hari lawatan ini dijalankan terdapat syarikat pengiklanan sedang melakukan aktiviti pengemasan untuk menjadikan kawasan rumah ini sebagai set lakonan iklan mereka.

Bahagian tepi rumah ini mempunyai halaman yang luas juga dan ditanam dengan pokok jambu serta rambutan sejak dahulu lagi.

Perigi lama yang ada di halaman rumah ini tidak lagi digunakan. Menurut pemilik rumah ini dahulu terdapat banyak pasu-pasu atau guri yang besar di sini tetapi ianya telah dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Bahagian belakang rumah juga ditanam dengan pokok rambutan. Bagaimanapun halaman yang luas ini kurang dijaga dan menjadi semak samun.

Menurut pemilik rumah ini dinding rumah diperbuat daripada kayu seraya dan lantainya pula dibuat daripada kayu cengal. Ini adalah antara perbezaan rumah ini dengan rumah Allahyarham Hj Su bahagian depan yang keseluruhannya diperbuat daripada kayu cengal.

Gambar menunjukkan pintu masuk ke rumah En Abdul Ghani. Kawasan depan rumah yang luas tanpa tanaman amatlah sesuai bagi orang Melayu ketika membuat kenduri kendara.

Alamat 91C, Kampung Losong Hj Su adalah alamat bagi rumah En Abdul Ghani.

Penyelidik TAMAN sedang menemuramah pemilik rumah dan anaknya. En Abdul Ghani walaupun sudah berusia tetapi masih ligat berbicara tentang asal usul keturunan dan sejarah rumahnya. Mereka sekeluarga sememangnya sangat ramah dan kami mengucapkan jutaan terima kasih atas bantuan yang diberikan.
Rumah apakah ini??? Menurut kepada En Abdul Ghani ini adalah rumah milik datuknya iaitu  Allahyarham Hj Mamat. Hj Mamat adalah saudagar yang kaya raya dan mampu mendirikan rumah batu pada ketika itu. Jika dilihat dari gambar di atas, kebanyakan bumbung rumah adalah bersambung walaupun era pembinaannya berlainan. Ianya adalah kerana pemilik-pemilik rumah ini adalah saudara-mara atau anak-beranak.

Rumah Allahyarham Hj Mamat yang diperbuat dari batu berserta dengan ukiran bunga yang seolah-oleh satu binaan British di sini. Rumah ini dijaga dengan baik oleh waris pemilik rumah ini iaitu En Wan Abdullah Wan Ismail.
Para penyelidik TAMAN bergambar dengan latarbelakang Masjid Kristal.
Istana Maziah ini dibina untuk menggantikan Istana Hijau akibat kebakaran di era pemerintahan Sultan Omar. Mengikut sejarah usia istana ini telah melebihi 100 tahun. Di istana inilah segala upacara  rasmi kerajaan dijalankan antaranya seperti istiadat pertabalan kemahkotaan Sultan Terengganu dan sambutan tetamu utama negeri. Kira-kira 20 orang tukang Melayu dan Cina telah terlibat di dalam pembinaan istana ini.

Para penyelidik TAMAN sedang berbincang tentang landskap taman istana yang begitu minimum tidak seperti taman-taman istana yang lain.

Pokok hujan-hujan yang telah lama wujud di sini sangat rendang dan menjadi tempat berteduh di  hujung laman istana. Dataran yang luas dan hanya ditanam dengan rumput memberi kesan simplicity kepada kawasan ini.

Terdapat pokok belimbing besi yang ditanam di kawasan yang bertar. Pokok ini kelihatan sudah tua tetapi tidak terlalu besar mungkin diakibatkan oleh faktor lokasi penanamannya yang kurang sesuai.

Terdapat juga pokok pelam yang sudah tua bersebelahan dengan pagar pintu masuk.

Pokok kemboja juga ditanam di dalam halaman istana.

Pintu masuk ke Istana Maziah yang tersergam indah. Ketika lawatan ini dijalankan pintu pagar istana ini tidak ditutup dan membolehkan para penyelidik TAMAN menjalankan kajian keatas istana ini.

Setelah pulang dari tapak di Istana Maziah, para penyelidik TAMAN telah singgah sebentar di kawasan tempat letak kereta automatik (bertingkat) yang lokasinya berhampiran dengan hotel penginapan. Teknologi seperti ini perlu disebarkan ke seluruh pelusuk negara terutamanya di IPT bagi mengurangkan masalah meletak kenderaan dalam kampus.

Harga yang sangat berpatutan untuk parking secara bulanan. Bagaimanapun  harga yang agak janggal dibayar oleh kami untuk meletak kereta selama 3 jam (RM7 dikenakan wehhh) di kawasan bersebelahan dengannya.
Pengalaman yang hebat pada hari ini diharapkan dapat lagi untuk lawatan seterusnya di Pulau Duyung dan Besut untuk esok hari. Kami akan berada di Kuala Terengganu untuk 1 hari lagi bagi menjalankan tugasan yang lebih mencabar.

Selesai sudah lawatan untuk hari yang ketiga. Esok 29 Mac 2013 para penyelidik TAMAN akan ke Pulau Duyung, Kuala Terengganu dan Besut untuk mencari perkampungan Melayu tradisional di sana.

Aktiviti mencari perkampungan tradisional akan bermula sekitar 8.30 pagi. Seterusnya kami akan bertolak ke Kota Bharu, Kelantan pada pukul 6.00 petang untuk meneruskan lawatan hari kelima.

Untuk makluman segala catatan di dalam blog ini adalah ringkasan hasil dari pengembaraan para penyelidik TAMAN sahaja dan semua data yang diperolehi belum dianalisa dengan tepat dan ianya adalah pandangan penulis semata-mata.





Lawatan Tapak Pantai Timur Semenanjung Malaysia - Bahagian 2


Lawatan Tapak Pantai Timur Semenanjung Malaysia - Bahagian 2

Perjalanan mencari perkampungan tradisional masyarakat Melayu diteruskan oleh penyelidik TAMAN. Hari ini mereka semua berada di daerah Kuala Lipis dan juga Jerantut, Pahang. Apa yang menariknya kedua-dua daerah ini sememangnya tidak pernah dilawati oleh para penyelidik TAMAN sebelum ini.
Tarikh        : 27 Mac 2013
Lokasi       : Kuala Lipis (Kg. Tanjung Gahai, Kg. Berembang)
                   Jerantut (Sg. Mela)


Pintu masuk ke Kg. Tanjung Gahai, Kuala Lipis, Pahang. Kampung ini adalah lokasi pertama  untuk dilawati pada hari kedua ini.

Jambatan di dalam Kg. Tanjung Gahai boleh besar dan nampak kukuh. Dari Jambatan ini kita dapat melihat satu pemandangan yang indah Sg. Lipis.
Kami disambut dengan tumbuh-tumbuhan di kiri dan kanan jalan yang kecil. Ini telah membuatkan kami lebih teruja untuk masuk lebih dalam ke kawasan kampung.
Pemandangan yang indah Sungai Lipis. Seperti yang dapat kita lihat terdapat aktiviti menjala ikan di sungai ini.
Sungai Lipis yang luas sangat menarik perhatian para penyelidik TAMAN. Gambar ini diambil di atas sebuah jambatan gantung di dalam Kg. Bertang bersebelahan Kg. Tanjung Gahai.
Antara jambatan gantung yang terdapat di dalam kawasan Kg. Tanjung Gahai.
Para penyelidik TAMAN tidak lupa untuk mengambil gambar kenangan di atas jambatan gantung.
Rumah ini tiada penghuni semasa lawatan dijalankan. Rumah No. 12 Kg Tanjung Gahai ini mempunyai karektor yang kuat senibina rumah Melayu Pahang.
Keadaan rumah ini nampak uzur bagaimanapun adalah diyakini ianya masih dihuni oleh penduduk kampung ini.
Tumbuhan menjadi pagaran kawasan halaman rumah.
Halaman rumah yang besar dan ditanam dengan pelbagai spesis tumbuhan sangat mendamaikan jika ianya diselenggara dengan baik oleh pemiliknya.
Adalah diyakini bahawa ini adalah bilik mandi bagi kediaman ini kerana terdapatnya kolah air. Bagaimanapun ianya sudah dibiarkan usang tanpa selenggara kerana tidak lagi berada di dalam kawasan rumah akibat sebahagian dari tanah telah dipotong untuk membuat jalan kampung.
Kolah air yang terdapat di bilik mandian bagaimanapun telah dibiarkan tanpa selenggara.
Tandas luar rumah masih digunakan lagi untuk aktiviti harian.
Pangkin di belakang rumah yang digunakan untuk aktiviti membasuh pakaian dan mencuci pinggan mangkuk.
Rumah kediaman No. 19, Kg Tanjung Gahai, Kuala Lipis menjadi lokasi kedua lawatan. Rumah ini tiada penghuni semasa lawatan dibuat tetapi diyakini bahawa ianya adalah dimiliki oleh seorang penduduk kampung yang bernama Ahmad @ Amzah bin Daud berdasarkan kepada Plat yang terdapat pada dinding rumah ini sebagai salah seorang penerima Bantuan Rumah Tahun 2011.
Rumah ini diselenggara dengan elok dan para penyelidik TAMAN sangat kagum dengan  usaha pemilik menjaga rumah dan halaman dengan baik. Bagimanapun kami sangat kecewa kerana tidak dapat bertemu dengan pemilik rumah walaupun 3 kali singgah di sini untuk tujuan mendapatkan maklumat .
Halaman rumah yang luas adalah salah satu elemen landskap Melayu yang utama .
Halaman yang luas bukan sahaja ditanam dengan pelbagai tumbuhan tetapi ianya juga telah menempatkan rumah sanak saudara di dalam kawasan yang sama.
Pagar pintu masuk ke kawasan kediaman ini dilihat tidak lagi menggunakan rekabentuk tradisional tetapi jelas menggambarkan pemilik rumah ini mementingkan privasi untuk waktu-waktu tertentu sahaja kerana pada waktu para penyelidik TAMAN singgah di sini pintu pagar tidak berkunci.
Tanaman berpasu adalah elemen landskap masyarakat Melayu yang masih digunkan di halaman rumah ini.
Jalan ikan disangkut di bahagian depan rumah menggambarkan salah satu aktiviti penghuni rumah ini ialah menjala ikan di Sungai Lipis. Ianya juga adalah salah satu elemen landskap budaya yang diterapkan di sini.
Pelbagai tanaman di tanam di sekitar halaman rumah.
Terdapat kebun pokok salak bersebelahan dengan kediaman ini dan dipercayai adalah kepunyaan pemilik rumah ini.
Rumah Allahyarham Hj. Ismail Mat Diah yang terletak di Kg Berembang, Kuala Lipis ini telah dibina pada tahun 1962. Ianya telah dibina oleh seorang tukang Melayu. Kayu yang digunakan untuk membuat rumah ini adalah terdiri daripada meranti dan merbau. Pada ketika ini rumah ini telah disewakan kepada penduduk tempatan. 

Terdapat banyak pokok-pokok asal antaranya ialah pokok kelapa dan rambai yang ditanam di kawasan halaman rumah.

Kolah air yang terletak di luar rumah kini tidak digunakan lagi dan hanya menjadi pasu bunga yang besar serta terbiar. Keadaan rumah ini agak uzur kerana kurang penyelenggaraan dari waris pemilik rumah ini.

Halaman rumah yang luas adalah elemen landskap budaya yang ada pada rumah ini. Bagaimanapun halaman yang luas ini tidak digunakan secara total dan dibiarkan terbiar hingga ditumbuhi semak samun.

Kawasan tepi rumah yang turut ditumbuhi dengan pokok pisang dan semak.

Bangsal ini tidak lagi digunakan pada ketika ini tetapi keadaannya tidaklah begitu teruk walaupun ada dindingnya yang tertanggal.

Perun yang terdapat di halaman rumah ini. Ianya terlalu dekat dengan rumah.

Terdapat juga ampaian lama yang turut berada di halaman rumah.
Rumah tinggal yang dikatakan milik seorang penghulu pada suatu ketika dahulu dibina pada Oktober 1937 menurut kepada plat yang terdapat di dalam rumah tersebut yang beserta dengan dengan kalimah La ilaha illalah Muhammadurasullullah. Lokasinya terletak di Kampung Mela, Jerantut, Pahang.
Loji Air Mela (Rancangan Bekalan Air Kuala Tembeling) berada di depan bangunan rumah lama ini. Rumah lama ini hampir tidak kelihatan dari jalan utama kerana berada di belakang loji air ini.
Pintu masuk ke rumah lama ini. Bagaimanapun orientasi bangunan ini tidak mengadap ke pintu ini kerana rumah ini dibina mengikut orientasi mengadap sungai.
Fasad rumah yang mengadap ke arah sungai. Kawasan rumah serta bangunan ini tidak dijaga dan warisnya hampir tidak dikenali oleh penduduk berhampiran dengan kawasan ini. Senibina rumah ini sangat baik dan berpotensi dimajukan ditambah lagi dengan keunikannya yang mengadap sungai. 
Plat yang memaparkan tarikh Oktober 1937 dengan kalimah La ilaha illalah Muhammadurasullullah di atas pintu di dalam rumah lama ini.
Kolah juga terdapat di bahagian depan pintu masuk rumah. Ianya turut terbiar dengan ditumbuhi dengan semak samun.
Kawasan halaman rumah yang luas dan ditanam dengan pelbagai pokok buah-buahan adalah antara elemen landskap budaya masyarakat Melayu.
Turut memaparkan keluasan halaman bagi rumah lama ini. Gambar tersebut memaparkan bahagian belakang rumah.
Para penyelidik TAMAN tidak melepaskan peluang bergambar berlatarbelakangkan rumah lama yang sangat istimewa ini.

Selesai sudah lawatan untuk hari yang kedua. Esok 28 Mac 2013 para penyelidik TAMAN akan ke Kuala Terengganu untuk mencari perkampungan Melayu tradisional di sana di samping mencari maklumat tentang masyarakat Melayu Terengganu di muzium terbesar di Malaysia iaitu Muzium Terengganu.

Penyelidik telah menetap di Hotel Kenangan, Kuala Terengganu. Aktiviti mencari perkampungan tradisional akan bermula sekitar 8.30 pagi.

Untuk makluman segala catatan di dalam blog ini adalah ringkasan hasil dari pengembaraan para penyelidik TAMAN sahaja dan semua data yang diperolehi belum dianalisa dengan tepat dan ianya adalah pandangan penulis semata-mata.





Wednesday, 27 March 2013

Lawatan Tapak Pantai Timur Semenanjung Malaysia

Objektif lawatan ini dilakukan:

1)  Untuk menjana tahap kefahaman serta merasai sendiri persekitaran, identiti serta aktiviti sebenar kampung tradisional Melayu sekitar Pantai Timur Semenanjung Malaysia (Pahang, Terengganu dan Kelantan).

2)  Untuk mendapatkan maklumat melalui kaedah inventori dan analisa tapak dalam melengkapkan serta memenuhi keperluan dan kehendak kertas kerja projek Model Rekabentuk Konsep Taman Melayu.

3)  Untuk menggalakkan aktiviti penyelidikan berdasarkan budaya Melayu dalam masa yang sama menjalinkan hubungan dua hala antara masyarakat kampung dengan penyelidik khususnya dan UiTM Perak amnya.


Para Penyelidik TAMAN UiTM Perak Bagi Projek Lawatan Tapak Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Hari Pertama Lawatan Tapak:
Lawatan Tapak Pantai Timur Semenanjung Malaysia
Tarikh : 26 Mac 2013

Lokasi : Tiada Lokasi Spesifik - Perjalanan ke Negeri Pahang

Tema untuk hari pertama lawatan tapak ini ialah sarapan pagi di Seri Iskandar Perak, makan tengah hari di Pasir Mas, Kelantan dan makan malam di Kuala Lipis, Pahang.

Rasanya perjalanan kali ini sungguh memenatkan memandangkan kami akan memulakan lawatan tapak dari negeri Pahang seterusnya ke Terengganu dan berakhir di negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu Kelantan.

Apa yang menarik di hari pertama ialah tempat penginapan kami iaitu Hotel Bestari. Keadaan hotel sangat baik dan servis yang bagus dan inilah kali pertama kami melihat cara pemasaran sesebuah hotel dengan memaparkan sebesar-besar papan tanda iklan servis yang ditawarkan oleh hotel tersebut.


Hotel Bestari Yang Terletak Di Bandar Baru Kuala Lipis Sangat Sesuai Bagi Pelancong Yang Mencari Sebuah Hotel Budget Yang Menawarkan Kemudahan Yang Sangat Memuaskan. Kita Boleh Lihat Pada Gambar Di Atas Servis Yang Ditawarkan Kepada Pelanggan.

Lawatan untuk hari kedua adalah di daerah Kuala Lipis dan Jerantut pada 27 Mac 2013. Penyelidik telah menetap di Hotel Bestari, Bandar Baru Kuala Lipis. Aktiviti mencari perkampungan tradisional akan bermula sekitar 8.30 pagi.

Untuk makluman segala catatan di dalam blog ini adalah ringkasan hasil dari pengembaraan para penyelidik TAMAN sahaja dan semua data yang diperolehi belum dianalisa dengan tepat dan ianya adalah pandangan penulis semata-mata.