Thursday, 28 March 2013

Lawatan Tapak Pantai Timur Semenanjung Malaysia - Bahagian 3


Lawatan Tapak Pantai Timur Semenanjung Malaysia - Bahagian 3



Perjalanan mencari perkampungan tradisional masyarakat Melayu diteruskan oleh penyelidik TAMAN. Hari ini mereka semua berada di Kuala Terengganu. Apa yang menariknya para penyelidik TAMAN berjaya mendapat rumah yang sedang di dalam proses pemulihan oleh Muzium Terengganu yang berusia lebih dari 100 tahun berserta dengan beberapa rumah yang sezaman dengannya.
Tarikh        : 28 Mac 2013
Lokasi       : Kuala Terengganu (Kg. Losong)

Para penyelidik TAMAN telah ke Muzium Terengganu untuk mencari maklumat berkenaan masyarakat Melayu Terengganu.
Rumah tradisional yang dipamerkan di dalam kawasan muzium sangat informatif kepada para penyelidik TAMAN .
Rumah tradisional Terengganu yang sememangnya unik dan dapat memberi ilham kepada perekabentuk dalam merekabentuk taman/halaman bersepadanan dengan budaya masyarakat setempat.
Tahukah apa bangunan ini???Ianya adalah tandas. Kalau di kawasan rumah tradisional lama ia seolah-oleh seperti  kepok padi tetapi di Muzium Terengganu perekabentuk adalah sangat kreatif kerana mampu adaptasi senibina budaya masyarakat walaupun kepada tandas.
Muzium Terengganu yang tersergam indah dengan senibinanya. Persoalan disini ialah mengapa Muzium Negara tidak direkabentuk sebegini rupa supaya lebih menarik minat para pengunjung??? Mungkin suatu masa yang sesuai agaknya..
Rumah Allahyarham Hj Su yang siap dibina pada tahun 1850 oleh tukang Melayu dan dikatakan mengambil masa selama 10 tahun untuk menyiapkannya. Senibinanya mengikut kepada rumah Limas Belanda dan Bujang Berpeleh
Kembar Tiga.
Rumah ini sudah tidak berpenghuni dan telah dibeli oleh Muzium Terengganu untuk dibaikpulih.  Rumah agam ini mempunyai dua bangunan yang dibangunkan mengikut era tertentu. Ini dapat dilihat daripada bangunan dibelakang mempunyai senibina yang tidak sama dengan bangunan di bahagian hadapan dan ianya diakui oleh waris pemilik rumah ini sendiri tentang terdapat 2 rekabentuk yang berlainan. Rumah belakang dianggarkan telah berusia lebih 150 tahun dan rumah depan dianggarkan berusia hampir 90 tahun.
Mengikut kepada waris pemilik rumah ini antara sebab mengapa rumah ini bertiang tinggi ialah banjir dan ini juga menjadi sebab mengapa kebanyakan rumah-rumah tradisional lama mempunyai sampannya sendiri. Rumah ini dibuat daripada kayu cengal. Rumah ini dikelilingi oleh pagar buluh cina. Tumbuhan lain yang masih kekal hingga kini ialah pokok pelam dan jambu.
Guri yang telah diterbalikkan. Semasa lawatan dijalankan ia menjadi tempat mengeringkan ubi kayu. Bagaimanapun guri adalah salah satu elemen landskap budaya Melayu dan kebanyakan rumah tradisional lama di Semenanjung Malaysia mempunyainya di halaman rumah.
Lagi terdapat guri yang besar di halaman rumah walaupun ianya sudah tidak digunakan lagi.
Perigi air yang sudah tidak digunakan lagi tetapi menepati elemen landskap taman Melayu.
Kereta jenama Dodge yang dimiliki oleh pemilik rumah ini. Bagaimanapun ianya tidak diselenggara dan dalam keadaan yang sangat buruk. Jika dilihat kepada jenama kereta ini kita dapat congak betapa mewahnya pemilik kereta ini pada suatu ketika dahulu.
Tapak tandas luar rumah yang sudah tidak digunakan lagi kerana ianya telah dirobohkan.
Alatan-alatan tradisional masyarakat Melayu seperti lesung padi dan papan congkak lama masih terdapat di dalam kawasan rumah agam ini.
Para penyelidik TAMAN bergambar kenangan di dalam halaman rumah agam  Allahyarham Hj Su ini. Mungkin pada suatu masa kita dapat lihat rumah ini tidak lagi seperti yang kita dapat lihat pada hari ini.
Rumah milik En Abdul Ghani bin Embong ini terletak berhadapan dengan rumah Allahyarham Hj Su. Rumah ini adalah seiras dengan rumah bahagian depan rumah Allahyarham Hj Su. Ini adalah kerana En Abdul Ghani ialah cucu kepada Allahyarham Hj Su dan ianya dibina seusia dengan bangunan tersebut. Halaman rumah ini sangat luas dan tidak pernah ditanam dengan tumbuhan sejak pembinaannya.

Rumah ini masih digunakan oleh pemilik dan anak-anak. Ia masih kukuh dan pada hari lawatan ini dijalankan terdapat syarikat pengiklanan sedang melakukan aktiviti pengemasan untuk menjadikan kawasan rumah ini sebagai set lakonan iklan mereka.

Bahagian tepi rumah ini mempunyai halaman yang luas juga dan ditanam dengan pokok jambu serta rambutan sejak dahulu lagi.

Perigi lama yang ada di halaman rumah ini tidak lagi digunakan. Menurut pemilik rumah ini dahulu terdapat banyak pasu-pasu atau guri yang besar di sini tetapi ianya telah dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Bahagian belakang rumah juga ditanam dengan pokok rambutan. Bagaimanapun halaman yang luas ini kurang dijaga dan menjadi semak samun.

Menurut pemilik rumah ini dinding rumah diperbuat daripada kayu seraya dan lantainya pula dibuat daripada kayu cengal. Ini adalah antara perbezaan rumah ini dengan rumah Allahyarham Hj Su bahagian depan yang keseluruhannya diperbuat daripada kayu cengal.

Gambar menunjukkan pintu masuk ke rumah En Abdul Ghani. Kawasan depan rumah yang luas tanpa tanaman amatlah sesuai bagi orang Melayu ketika membuat kenduri kendara.

Alamat 91C, Kampung Losong Hj Su adalah alamat bagi rumah En Abdul Ghani.

Penyelidik TAMAN sedang menemuramah pemilik rumah dan anaknya. En Abdul Ghani walaupun sudah berusia tetapi masih ligat berbicara tentang asal usul keturunan dan sejarah rumahnya. Mereka sekeluarga sememangnya sangat ramah dan kami mengucapkan jutaan terima kasih atas bantuan yang diberikan.
Rumah apakah ini??? Menurut kepada En Abdul Ghani ini adalah rumah milik datuknya iaitu  Allahyarham Hj Mamat. Hj Mamat adalah saudagar yang kaya raya dan mampu mendirikan rumah batu pada ketika itu. Jika dilihat dari gambar di atas, kebanyakan bumbung rumah adalah bersambung walaupun era pembinaannya berlainan. Ianya adalah kerana pemilik-pemilik rumah ini adalah saudara-mara atau anak-beranak.

Rumah Allahyarham Hj Mamat yang diperbuat dari batu berserta dengan ukiran bunga yang seolah-oleh satu binaan British di sini. Rumah ini dijaga dengan baik oleh waris pemilik rumah ini iaitu En Wan Abdullah Wan Ismail.
Para penyelidik TAMAN bergambar dengan latarbelakang Masjid Kristal.
Istana Maziah ini dibina untuk menggantikan Istana Hijau akibat kebakaran di era pemerintahan Sultan Omar. Mengikut sejarah usia istana ini telah melebihi 100 tahun. Di istana inilah segala upacara  rasmi kerajaan dijalankan antaranya seperti istiadat pertabalan kemahkotaan Sultan Terengganu dan sambutan tetamu utama negeri. Kira-kira 20 orang tukang Melayu dan Cina telah terlibat di dalam pembinaan istana ini.

Para penyelidik TAMAN sedang berbincang tentang landskap taman istana yang begitu minimum tidak seperti taman-taman istana yang lain.

Pokok hujan-hujan yang telah lama wujud di sini sangat rendang dan menjadi tempat berteduh di  hujung laman istana. Dataran yang luas dan hanya ditanam dengan rumput memberi kesan simplicity kepada kawasan ini.

Terdapat pokok belimbing besi yang ditanam di kawasan yang bertar. Pokok ini kelihatan sudah tua tetapi tidak terlalu besar mungkin diakibatkan oleh faktor lokasi penanamannya yang kurang sesuai.

Terdapat juga pokok pelam yang sudah tua bersebelahan dengan pagar pintu masuk.

Pokok kemboja juga ditanam di dalam halaman istana.

Pintu masuk ke Istana Maziah yang tersergam indah. Ketika lawatan ini dijalankan pintu pagar istana ini tidak ditutup dan membolehkan para penyelidik TAMAN menjalankan kajian keatas istana ini.

Setelah pulang dari tapak di Istana Maziah, para penyelidik TAMAN telah singgah sebentar di kawasan tempat letak kereta automatik (bertingkat) yang lokasinya berhampiran dengan hotel penginapan. Teknologi seperti ini perlu disebarkan ke seluruh pelusuk negara terutamanya di IPT bagi mengurangkan masalah meletak kenderaan dalam kampus.

Harga yang sangat berpatutan untuk parking secara bulanan. Bagaimanapun  harga yang agak janggal dibayar oleh kami untuk meletak kereta selama 3 jam (RM7 dikenakan wehhh) di kawasan bersebelahan dengannya.
Pengalaman yang hebat pada hari ini diharapkan dapat lagi untuk lawatan seterusnya di Pulau Duyung dan Besut untuk esok hari. Kami akan berada di Kuala Terengganu untuk 1 hari lagi bagi menjalankan tugasan yang lebih mencabar.

Selesai sudah lawatan untuk hari yang ketiga. Esok 29 Mac 2013 para penyelidik TAMAN akan ke Pulau Duyung, Kuala Terengganu dan Besut untuk mencari perkampungan Melayu tradisional di sana.

Aktiviti mencari perkampungan tradisional akan bermula sekitar 8.30 pagi. Seterusnya kami akan bertolak ke Kota Bharu, Kelantan pada pukul 6.00 petang untuk meneruskan lawatan hari kelima.

Untuk makluman segala catatan di dalam blog ini adalah ringkasan hasil dari pengembaraan para penyelidik TAMAN sahaja dan semua data yang diperolehi belum dianalisa dengan tepat dan ianya adalah pandangan penulis semata-mata.





2 comments:

  1. great article. at least there is people out there 'cakna' with our warisan.

    ReplyDelete
  2. assamualaikum..saya sedang menjalankan research tentang rumah hj su ini... boleh x kalau sy nk contact number En Ab Ghani,cucu Hj Su ini...sy harap saudara boleh email saya kt almat ni: ieda1507@yahoo.com

    ReplyDelete