Friday 28 December 2012

Kemudahan Golongan Kurang Upaya: Kepentingan Pada Masa Kini


Prosiding Seminar Penyelidikan Siswazah Alam Bina,
Universiti Teknologi MARA Perak, 
4 Disember 2008, 

ISBN: 978-983-43548-2-4.


KEMUDAHAN GOLONGAN KURANG UPAYA: KEPENTINGANNYA PADA MASA KINI.

Oleh

AHMAD ZAMIL BIN ZAKARIA
Jabatan Senibina Landskap
Universiti Teknologi Mara
Kampus Seri Iskandar, Perak
E-mail: zamil227@perak.uitm.edu.my

ABSTRAK

Kemudahan golongan kurang upaya pada masa kini masih dipinggirkan. Apakah sebenarnya kemudahan golongan kurang upaya? Kemudahan golongan kurang upaya adalah kemudahan yang dikhaskan kepada golongan kurang upaya untuk mereka bergerak tanpa halangan samada di taman-taman awam, bangunan awam ataupun di bandar yang sesak dengan pelbagai aktiviti. Di era yang serba canggih dan maju kini, manusia semakin mengejar pembangunan dan kemajuan tetapi tanggungjawab sosial terutamanya kepada golongan kurang upaya mulai terhakis. Di Malaysia, terdapat garispanduan yang digunakan untuk merekabentuk kemudahan golongan kurang upaya. Garispanduan yang digunapakai adalah menyentuh tentang laluan di luar bangunan dan laluan di dalam bangunan awam. Kepentingan kemudahan ini adalah untuk menarik golongan kurang upaya supaya menggunakan kemudahan awam. Di samping itu ianya juga untuk tidak meminggirkan hak golongan kurang upaya untuk menikmati kemudahan dan pembangunan yang disediakan. Konsep “Barrier-Free Design” ataupun rekabentuk tanpa halangan sudah lama diaplikasikan di dunia barat. Bagaimanapun di Malaysia penggunaan konsep ini masih samar-samar kerana ianya tidak diimplimentasikan secara menyeluruh akibat daripada kurangnya kesedaran sosial dikalangan profesional-profesional yang terlibat di dalam pembangunan dan merekabentuk sesebuah taman awam, bangunan ataupun bandar. Kesan daripada implimentasi konsep ini akan mewujudkan hubungan yang lebih baik antara golongan kurang upaya dan masyarakat umum. Rekabentuk landskap kejur akan mewujudkan perasaan yang lebih selamat dan selesa kepada golongan kurang upaya disamping lebih tertarik untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Selain daripada itu ianya adalah untuk meningkatkan persepsi orang ramai terhadap isu-isu berkaitan dengan golongan kurang upaya.
                                                                                                                 
Kata Kunci: Kemudahan Golongan Kurang Upaya, Malaysian Standard (SIRIM)

PENGENALAN

Apabila bercakap mengenai golongan kurang upaya kita perlulah mengetahui maksud golongan kurang upaya terlebih dahulu. Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, golongan kurang upaya adalah mereka yang tidak boleh melakukan sesuatu perkara untuk keperluan diri sendiri atau seseorang yang tidak dapat mengambil bahagian sepenuhnya di dalam kehidupan masyarakat. Kecacatan ini adalah terjadi sejak lahir atau oleh kemalangan. Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia telah membahagikan golongan kurang upaya kepada;

1)    kecacatan fizikal, seperti pekak, buta, tiada tangan / kaki
2)    kecacatan pendengaran,
3)    kecacatan penglihatan dan
4)    terencat akal
5)    orang-orang tua yang terbatas keupayaan fizikal
6)    pengguna kerusi roda
7)    perempuan mengandung
8)    kanak-kanak dan orang kerdil
(Sumber: Jabatan Perancangan Bandar dan Desa semenanjung Malaysia (2002)

Jika dilihat daripada definisi yang telah diberikan golongan kurang upaya adalah melibatkan golongan yang mempunyai kecacatan fizikal seperti pekak, buta, tiada tangan atau kaki. Selain itu seseorang itu diisytiharkan cacat juga apabila menggunakan kerusi roda, wanita mengandung, warga emas dan seseorang yang pembesarannya terbantut. Perkara-perkara asas yang perlu diketahui umum mengenai peralatan yang digunakan oleh golongan kurang upaya adalah seperti penggunaan kerusi roda, tongkat untuk kegunaan bahagian tangan (crutch), tongkat (cane), tongkat empat kaki (walker), tongkat ketiak (brace), kaki palsu (artificial limb), kasut rekaan istimewa, ramp, pagar keselamatan (safety railing) dan laluan pejalan kaki khas.

PERUNDANGAN DAN GARISPANDUAN UMUM BAGI PERANCANGAN FIZIKAL DAN REKABENTUK YANG MELIBATKAN GOLONGAN KURANG UPAYA.

Terdapat beberapa garispanduan yang telah dicadangkan oleh O’ Morrow, G.S. (1976) iaitu kemudahsampaian ke sesuatu tempat, sirkulasi yang boleh digunakan oleh orang ramai, tempat yang boleh ditujui oleh semua orang, peralatan atau kegunaan untuk semua anggota masyarakat, keutamaan keselamatan, perbuatan yang boleh dilakukan oleh semua pihak dan tiada halangan penggunaan kemudahan yang disediakan.

Antara perundangan negara ini yang menyebut tentang keistimewaan dan keperluan penyediaan kemudahan kepada golongan kurang upaya ialah;

1)    Undang-undang Kecil bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984),
2)    Kod Amalan SIRIM (Malaysian Standards),
3)    Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984)

Di dalam Undang-undang Kecil bangunan Seragam 1984 ada menyebut tentang kesemua bangunan awam perlu dilengkapkan dengan kemudahan untuk golongan kurang upaya. Sebagai contoh ia tertera di dalam seksyen satu iaitu jalan atau kemudahsampaian, jalan keluar serta jalan penghubung perlu dibina dengan menitik beratkan kemudahan semua pihak termasuklah golongan kurang upaya. Di dalam seksyen dua ada menyatakan perlunya spesifikasi bagi kemudahan untuk golongan kurang upaya berdasarkan Malaysian Standards MS 1184 dan MS 1183. Seksyen tiga, empat dan lima pula menyatakan pihak berkuasa tempatan perlulah memastikan pelan bangunan yang telah di serahkan mengikut Malaysian Standards iaitu penyediaan kemudahan bagi pengguna kurang upaya bagi setiap bangunan termasuklah bangunan yang diubahsuai. Seksyen 6 pula menyatakan bangunan-bangunan seperti bangunan pejabat, terminal, kawasan letak kereta dan bangunan awam termasuklah hospital, bangunan kerajaan, restoran, panggung wayang, kompleks sukan, sekolah, asrama, hotel dan lain-lain lagi.

Kod Amalan SIRIM pula menyatakan di dalam tiga (3) kod iaitu kod amalan untuk kemudahsampaian pengguna kurang upaya di dalam bangunan awam (MS 1184) 2002, kod amalan kemudahsampaian pengguna kurang upaya di luar bangunan awam (M8 1331) 1993 dan kod amalan jalan keselamatan untuk golongan kurang upaya (MS 1883) 1990.

Kod Amalan Untuk Kemudahsampaian Pengguna Kurang Upaya Di dalam Bangunan Awam (MS 1184) 2002

Kod amalan untuk kemudahsampaian pengguna kurang upaya di dalam bangunan awam (MS 1184) 2002 menyatakan perlunya menyediakan rekabentuk kemudahan yang boleh memastikan keselesaan kepada pengguna kurang upaya. Ia termasuklah spesifikasi kemudahan yang di sediakan yang menitikberatkan saiz, ukuran, jenis, bahan dan rekabentuk yang bersesuaian dan selamat digunakan. Kemudahan ini termasuklah ramp, susur tangan (handrail), tangga, tandas, papan tanda dan simbol.

Kod Amalan Kemudahsampaian Pengguna Kurang Upaya Di luar Bangunan Awam (M8 1331) 1993

Kod amalan kemudahsampaian pengguna kurang upaya di luar bangunan awam (M8 1331) 1993 pula menyatakan, kesemua kemudahan kemudahsampaian di luar banguan perlulah boleh digunakan oleh golongan kurang upaya. Antara kemudahan yang perlu menitikberatkan rekabentuk kepada pengguna kurang upaya adalah seperti laluan pejalan kaki, kaki lima, tiang lampu, ramp, tangga, susur tangan (handrail), perabot jalan, kerusi, titian, lintasan pejalan kaki (padestrian crossing), traffic islands,  tempat letak kereta, perhentian bas, papan tanda dan simbol. Kod ini perlu digunakan bagi kesemua bangunan awam dan bangunan pejabat tetapi tidak kepada bangunan persendirian seperti rumah.

Kod Amalan Jalan Keselamatan Untuk Golongan Kurang Upaya (MS 1883)

Kod amalan jalan keselamatan untuk golongan kurang upaya (MS 1883) 1990 pula menyatakan garispanduan kepada pihak kontraktor dan perekabentuk bangunan untuk bangunan baru, bangunan yang diubahsuai atau bangunan sediaada dalam menyediakan kemudahan yang dapat digunakan oleh pengguna kurang upaya apabila berlakunya bencana seperti kebakaran. Kemudahan yang perlu disediakan adalah termasuklah tangga, ruang keluar, lif kecemasan, telefon kecemasan dan lif yang sesuai digunakan bagi pengguna kerusi roda. Kod ini perlu digunakan bagi kesemua bangunan yang boleh dilawati oleh golongan kurang upaya tetapi tidak kepada bangunan persendirian seperti rumah.

Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976

Di dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 pula menyatakan tentang prinsip perancangan iaitu seperti keadilan, belas kasihan, ketenangan dan kesejahteraan, efektif dan cekap, hak seseorang dan masyarakat, perpaduan, menggalakkan interaksi dan menjaga alam sekitar. Terdapat konsep perancangan untuk kemudahan golongan kurang upaya iaitu suatu pelan pembangunan yang menyebut spesifikasi untuk kemudahan golongan kurang upaya. Antara komponen yang terdapat di dalam garispanduan ini ialah kemudahsampaian, ruang dan juga kemudahan sokongan. Bagi kawasan rekreasi ia perlulah menyediakan kemudahan seperti ramp, susur tangan (handrail), laluan pejalan kaki, laluan bertekstur, tangga, tangga bergerak (escalator), lintasan pejalan kaki (padestrian crossing), anjung pintu masuk, tempat letak kereta, tandas, bilik menukar pakaian, papan tanda, papan tanda istimewa, kerusi, pondok telefon, tong sampah, pagar dan tiang lampu isyarat yang mempunyai lampu isyarat melintas.

KAJIAN KES

Untuk kajian ini enam (6) buah taman di kawasan Lembah Klang telah di pilih bagi membolehkan kita mengetahui tahap kecenderungan arkitek landskap dalam merekabentuk taman yang boleh digunakan oleh pelbagai pihak termasuklah pengguna kurang upaya. Melalui pemerhatian dapat disimpulkan:


Taman Awam
Pertimbangan Rekabentuk
Tempat Letak Kereta
Laluan Pejalan Kaki
Permukaan Lantai
Jaluran Penunjuk Arah
Objek Menghalang Laluan
Susur Tangan


Taman KLCC
TLK terletak berhampiran dengan taman dan menyediakan kemudahan untuk OKU.
Kelebaran yang sesuai bagi kegunaan kerusi roda.
Permukaan lantai yang sesuai bagi kegunaan OKU.
Tiada jaluran penunjuk arah untuk menunjukkan persimpangan jalan dan kawasan rehat.
Laluan pejalan kaki bebas daripada sebarang ojek yang boleh menghalang laluan.
Susur tangan disediakan pada kawasan yang sesuai.


Taman Bukit Komanwel
Tiada kemudahan TLK bagi OKU disediakan.
Tidak menggunakan  kelebaran yang sesuai bagi pengguna kerusi roda.
Permukaan lantai yang sesuai bagi kegunaan OKU.
Tiada jaluran penunjuk arah untuk menunjukkan persimpangan jalan dan kawasan rehat.
Laluan pejalan kaki bebas daripada sebarang ojek yang boleh menghalang laluan.
Susur tangan disediakan pada kawasan yang sesuai.


Taman Tasik Perdana
Tiada kemudahan TLK bagi OKU disediakan.
Tidak menggunakan  kelebaran yang sesuai bagi pengguna kerusi roda.
Sesetengah kawasan tidak mempunyai lantai yang sesuai digunakan oleh OKU.
Tiada jaluran penunjuk arah untuk menunjukkan persimpangan jalan dan kawasan rehat.
Laluan pejalan kaki bebas daripada sebarang ojek yang boleh menghalang laluan.
Sesetengah kawasan tidak disediakan susur tangan.


Taman Tasik Permaisuri
Tiada kemudahan TLK bagi OKU disediakan.
Tidak menggunakan  kelebaran yang sesuai bagi pengguna kerusi roda.
Di kawasan beralun tidak disediakan permukaan yang kasar.
Tiada jaluran penunjuk arah untuk menunjukkan persimpangan jalan dan kawasan rehat.
Laluan pejalan kaki bebas daripada sebarang ojek yang boleh menghalang laluan.
Sesetengah kawasan tidak disediakan susur tangan.


Taman Tasik Shah Alam
Tiada kemudahan TLK bagi OKU disediakan.
Tidak menggunakan  kelebaran yang sesuai bagi pengguna kerusi roda.
Permukaan lantai yang sesuai bagi kegunaan OKU.
Tiada jaluran penunjuk arah untuk menunjukkan persimpangan jalan dan kawasan rehat.
Laluan pejalan kaki bebas daripada sebarang objek yang boleh menghalang laluan.
Sesetengah kawasan tidak disediakan susur tangan.

Taman Tasik Titiwangsa
Tiada kemudahan TLK bagi OKU disediakan.
Tidak menggunakan  kelebaran yang sesuai bagi pengguna kerusi roda.
Permukaan lantai yang sesuai bagi kegunaan OKU.
Tiada jaluran penunjuk arah untuk menunjukkan persimpangan jalan dan kawasan rehat.
Laluan pejalan kaki bebas daripada sebarang ojek yang boleh menghalang laluan.
Sesetengah kawasan tidak disediakan susur tangan.


Taman Awam
Pertimbangan Rekabentuk
Tangga
Ramp
Landskap Lembut
Papan Tanda
Pencahayaan

Taman KLCC
Sesetengah kawasan mempunyai tangga.
Sesetengan kawasan mempunyai ramp sahaja.
Pokok dipilih dengan baik, lokasi adalah sesuai
Tiada papan tanda yang jelas untuk menunjukkan laluan.
Sistem pencahayaan yang baik.

Taman Bukit Komanwel
Terlalu banyak tangga, tidak mudah sampai ke lokasi.
Tiada ramp.
Pokok tidak memberi masalah kepada pengguna.
Kekurangan papan tanda yang sesuai.
Sistem pencahayaan yang sederhana.

Taman Tasik Perdana
Sesetengah kawasan mempunyai tangga.
Tiada ramp.
Pokok tidak memberi masalah kepada pengguna.
Kekurangan papan tanda yang sesuai.
Sistem pencahayaan kurang memuaskan.

Taman Tasik Permaisuri
Terdapat laluan pejalan kaki beralun tidak dilengkapi tangga.
Tiada ramp.
Pokok tidak memberi masalah kepada pengguna.
Kekurangan papan tanda yang sesuai.
Sistem pencahayaan kurang memuaskan.

Taman Tasik Shah Alam
Sesetengah kawasan mempunyai tangga.
Tiada ramp.
Pokok tidak memberi masalah kepada pengguna.
Kekurangan papan tanda yang sesuai.
Sistem pencahayaan yang sederhana.

Taman Tasik Titiwangsa
Sesetengah kawasan mempunyai tangga.
Tiada ramp.
Pokok tidak memberi masalah kepada pengguna.
Kekurangan papan tanda yang sesuai.
Sistem pencahayaan yang sederhana.

(Sumber : Kajian Kemudahan Landskap Di Taman Awam Untuk Golongan Kurang Upaya Peningkatan Nilai Sosial Masyarakat Malaysia (2005)

 PERANCANGAN DAN REKABENTUK YANG DISYORKAN

Menurut Robinette G.O. (1985), suatu garispanduan umum boleh digunapakai apabila terdapat ukuran yang yang menitikberatkan rekabentuk persekitaran yang tiada halangan. Ia bermaksud  spesifikasi kemudahan yang direkabentuk adalah boleh digunapakai oleh semua orang termasuk golongan kurang upaya. Spesifikasi yang digunakan adalah amat penting terutama ketika menyediakan pelan perincian. Kemudahsampaian ke tapak tidak hanya direkabentuk bagi kegunaan golongan kurang upaya tetapi perlulah direkabentuk untuk semua pengguna kerana secara tidak langsung ia akan mewujudkan interaksi antara pengguna normal dan kurang upaya. Jalan yang baik adalah jalan yang mampu memudahkan pergerakan semua pengguna. Permukaan laluan pejalan kaki perlulah tahan lasak dan sempurna, kerb jalan perlulah di sediakan ramp dan laluan pejalan kaki perlulah boleh memuatkan dua (2) pergerakan lalulintas.

Merujuk kepada Robinette G.O. (1985), laluan pejalan kaki perlu direkabentuk untuk keselamatan, bebas dan tidak terhalang. Beliau menyatakan perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan di dalam merekabentuk dan mengubahsuai sistem laluan pejalan kaki. Antaranya permukaan laluan pejalan kaki perlulah tahan lasak dan sempurna serta bertekstur tanpa ada laluan licin. Perlu menyediakan kawasan rehat yang bersesuaian (bersama kerusi) bagi kemudahan pengguna berehat untuk laluan yang panjang. Kecuraman laluan pejalan kaki yang melebihi 5% adalah dianggap ramp dan perlu menggunakan spesifikasi rekabentuk ramp. Lampu pada laluan pejalan kaki perlu untuk tujuan keselamatan pengguna. Penyelenggaraan perlu kerap dilakukan bagi mengelakkan perkara yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pengguna. Kerb ramp perlu disediakan pada setiap laluan melintas. Struktur pengairan seperti drain, grating atau catch basin tidak boleh diletakkan berhampiran kerb ramp dan persimpangan jalan. Penahan roda (wheel stops) perlu direkabentuk dengan membolehkan air mengalir keluar daripada laluan pejalan kaki. Saiz laluan pejalan kaki perlulah mempertimbangkan jenis lalulintas dan penggunaannya.

Pemilihan tanaman menurut Robinette G.O. (1985) memerlukan seseorang itu menitikberatkan perletakan, pemilihan pokok yang sesuai dan penyelenggaraan. Antara perkara yang patut di  beri penekanan dalam pemilihan pokok ialah memastikan tiada pokok yang berpotensi mendatangkan bahaya seperti mempunyai duri yang panjang, atau buah beracun yang ditanam berdekatan dengan laluan pejalan kaki utama. Pokok juga memerlukan penyelenggaraan yang baik supaya tidak menjadi penyebab kepada kecederaan pengguna. Pokok yang dipilih juga perlulah mempunyai fungsi sebagai tempat berlindung daripada sinaran matahari dan juga angin kencang. Pemilihan pokok renek bagi tujuan menghalang pengguna melalui jalan yang menuju ke kawasan yang berbahaya. Pemilihan pokok yang baik akan menghasilkan suatu pemandangan menarik serta dapat menarik perhatian pengguna untuk menggunakan sesuatu kawasan itu.

Laluan interpretive menurut Robinette G.O. (1985) perlu direkabentuk untuk memberikan kepelbagaian kepada pengguna laluan pejalan kaki. Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dalam menyediakan laluan interpretive ini ialah setiap jalan memerlukan papan tanda yang mempunyai tulisan braille dan menimbulkan tulisan serta simbol bagi memberikan informasi kepada pengguna kurang upaya. Papan tanda yang sesuai bagi membantu pengguna kurang upaya dalam kategori buta. Laluan pejalan kaki perlulah menggunakan bahan yang tahan lasak dan bebas daripada sebarang halangan yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna kurang upaya.

CADANGAN DAN GARISPANDUAN ELEMEN LANDSKAP UNTUK GOLONGAN KURANG UPAYA BAGI KAWASAN LUAR BANGUNAN

Cadangan dan garispanduan yang dititikberatkan adalah:

1)             Pertimbangan Rekabentuk Bandar
2)             Papan Tanda
3)             Perabot Jalan
4)             Laluan Pejalan Kaki
5)             Kerb Ramp
6)             Tempat Letak Kenderaan
7)             Ramp
8)             Tangga
9)             Pagar dan Susur tangan (handrail)

1)         Pertimbangan Rekabentuk Bandar

Permasalahan yang selalu dikaitkan dengan rekabentuk bandar adalah seperti elemen halangan pada laluan pejalan kaki, papan tanda bergantung yang terlalu rendah dan kekurangan papan tanda amaran dikawasan yang terdapat halangan. Prinsip perancangan bagi mengatasi permasalah ini adalah – ”untuk merekabentuk laluan pejalan kaki yang tiada halangan untuk keselamatan dan kebebasan golongan kurang upaya”.

Pertimbangan rekabentuk adalah seperti mengetahui elemen-elemen yang mampu menghalang serta membahayakan pengguna, tekstur yang digunapakai adalah untuk menjadi panduan kepada golongan kurang upaya terutama bagi yang buta, meninggikan papan tanda yang tergantung iaitu melepasi ketinggian manusia, dan perletakan serta warna tong sampah perlu mengambilkira permasalahan golongan buta warna dan rabun.

2)         Papan Tanda

Terdapat permasalahan yang berkaitan dengan papan tanda tidak sah, kemalangan yang disebabkan oleh perletakan papan tanda yang tidak sesuai, kekurangan papan tanda yang memaparkan amaran kawasan merbahaya, dan tiada papan tanda jalan serta papan tanda menuju ke sesuatu kemudahan yang disediakan. Prinsip perancangan yang dicadangkan adalah – ”untuk menyediakan kemudahan penunjuk arah kepada golongan kurang upaya bagi memudahkan pergerakan mereka”.

Pertimbangan rekabentuk yang ingin diketengahkan adalah seperti mengetahui jenis-jenis papantanda secara menyeluruh termasuklah bahan yang digunakan dan lokasi yang sesuai. Perlu juga mengetahui simbol untuk mewakili golongan kurang upaya yang digunakan diperingkat antarabangsa.Selain itu papan tanda arah perlu menunjukkan arah dan tempat yang ditujui dengan jelas.Papan tanda yang memaparkan nama jalan perlu diletakkan pada ketinggian yang maksima. Panel informasi dan peta kawasan juga perlu mengutamakan jarak penglihatan dan diserta alat bantuan kepada golongan buta seperti tulisan braille. Bentuk papan tanda juga perlu selaras seperti papan tanda informasi berbentuk segi empat bujur, papan tanda amaran perlu berbentuk segi tiga dan papan tanda interdictory perlu berbentuk bulat. Penggunaan warna pada papan tanda juga perlu dititikberatkan dan umumnya kita menggunakan warna seperti putih, hitam, kuning, merah, biru dan hijau. Permukaan papan tanda juga perlulah mengelakkan menggunakan bahan yang memberikan silau dan bagi kemudahan braille perlu akan tulisan yang standard. Huruf pada papan tanda perlulah sesuai dan mudah dibaca.

3)         Perabot Jalan

Pada masa kini terdapat tiga (3) jenis permasalahan berkaitan dengan perabot jalan iaitu ketidaksesuaian rekabentuk perabot jalan, perabot yang menyekat laluan dan kemudahan jalan yang tidak dapat dihampiri. Bagi memastikan permasalahan berkaitan dengan perabot jalan ini dapat diselesaikan, satu prinsip perancangan iaitu – ”untuk merekabentuk kemudahan yang boleh digunapakai oleh semua pihak, tanpa terdapat sebarang halangan di sepanjang laluan pejalan kaki”.

Pertimbangan rekabentuk yang diperlukan adalah seperti mengetahui jenis-jenis perabot jalan secara umumnya dan lokasi perletakan yang sesuai adalah bagi mengelakkan bahaya kepada pengguna. Pondok telefon awam perlulah disediakan untuk ketinggian yang pelbagai serta mempunyai butang yang boleh dibaca dengan menyentuh bagi kemudahan golongan buta. Kawasan rehat juga perlu disediakan bagi membolehkan pengguna yang mengalami masalah kepenatan berjalan untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanannya.

4)         Laluan Pejalan Kaki

Masalah yang selalu terdapat pada laluan pejalan kaki adalah seperti kerb yang dibina tidak seragam dari segi ketinggian, laluan pejalan kaki yang mendatangkan bahaya dan ketidakselesaan kepada pengguna, kelebaran yang tidak mencukupi dan perubahan level tanah seperti cerun. Prinsip perancangan yang di digunapakai adalah – ”untuk menyediakan laluan pejalan kaki yang bebas daripada sebarang halangan yang boleh membahayakan pengguna seperti mengaplikasikan kecerunan yang sesuai, kelebaran yang boleh memberi keselesaan kepada pengguna ketika berjalan terutamanya kepada golongan cacat penglihatan dan yang mempunyai masalah pergerakan”.

Pertimbangan rekabentuk adalah seperti mengenali jenis-jenis laluan pejalan kaki terutama pada kawasan lapang dan kawasan rekreasi.Laluan pejalan kaki semestinya mempunyai jaluran penunjuk arah (guide strip) bagi kegunaan golongan buta. Selain menggunakan jaluran penunjuk arah (guide strip), laluan pejalan kaki memerlukan kotak tanda yang boleh disentuh (tactile marking) dengan menggunakan tongkat oleh golongan buta. Kotak ini akan diletak dipersimpangan setiap jaluran penunjuk arah (guide strip) dan kawasan yang menjadi halangan kepada golongan buta. Kerb yang dibina mestilah mengutamakan keselamatan pengguna terutama pada waktu malam. Kerb ramp pula mestilah bagi memudahkan kegunaan golongan berkerusi roda. Kelebaran laluan pejalan kaki yang minimum adalah laluan pejalan kaki yang boleh memuatkan dua (2) laluan kerusi roda. Kecerunan laluan pejalan kaki perlulah tidak melebihi 1:20.Jika melebihi kecerunan 1:20 laluan tersebut perlu dibina ramp bagi keselesaan pengguna. Jeriji longkang (drain grating) perlulah diletakkan bersudut tepat (perpendicular) di luar kawasan laluan pejalan kaki. Laluan pejalan kaki mestilah dilengkapkan dengan edging bagi keselamatan pengguna. Pemilihan pokok perlulah mengambilkira sifat-sifat yang terdapat pada pokok itu sendiri. Pokok yang dipilih perlulah dari jenis yang tidak beracun, daun tidak luruh dan akar yang boleh memecahkan laluan pejalan kaki.

5)         Kerb Ramp

Permasalah yang wujud pada Kerb ramp adalah ketidaksempurnaan rekabentuk peralihan atau bukan peralihan pada kesemua kawasan antara kerb dan laluan lintasan pejalan kaki (pedestrian crossing). Kerb jalan yang tiada kerb ramp akan menyusahkan pengguna terutamanya pengguna berkerusi roda. Prinsip perancangan yang digunapakai bagi mengatasi masalah ini adalah – ”untuk mengatasi perbezaan level antara laluan pejalan kaki dan permukaan jalan”.

Pertimbangan rekabentuk yang dicadangkan adalah keperluan kepada mengenali jenis-jenis kerb ramp serta fungsinya. Perlu dielakkan daripada merancang kerb ramp dikawasan yang mudah ditakungi air. Lokasi perletakan kerb ramp perlulah disetiap persimpangan jalan dan laluan lintasan pejalan kaki serta ditempat menurunkan pengguna seperti di kawasan tempat meletak kenderaan dan perhentian bas.Kecerunan minimum bagi kerb ramp adalah 1:12 bagi memudahkan pergerakan kerusi roda. Jaluran penunjuk arah (guide strip) dan kotak tanda (tactile marking) perlu diletakkan pada setiap kerb ramp. Permukaan kerb ramp perlulah mempunyai tekstur yang kasar bagi mengelakkan kegelinciran.

6)         Tempat Letak Kenderaan

Tempat letak kenderaan pada masa kini mempunyai masalah seperti berikut iaitu lorong laluan (aisle) bagi pengguna kerusi roda tidak disediakan dan kurangnya kuantiti tempat letak kenderaan khas bagi golongan kurang upaya. Prinsip perancangan yang dicadangkan adalah – ”untuk mewujudkan tempat letak kenderaan yang boleh digunapakai oleh golongan kurang upaya ke sesuatu tempat yang ditujui”.

Pertimbangan rekabentuk adalah mengenali kawasan yang sesuai bagi menempatkan tempat letak kenderaan khas bagi golongan kurang upaya. Nisbah yang sesuai bagi jumlah tempat letak kereta dan tempat letak kereta khas ialah 1:50. Nisbah ini sesuai diimplimentasikan di kawasan rekreasi dan taman-taman awam. Sesebuah taman yang baik perlulah menyediakan sekurang-kurangnya satu (1) tempat letak kereta khas supaya memudahkan pengguna kurang upaya. Lokasi perletakannya pula adalah mestilah dikawasan yang paling selamat dan mudah dikunjungi oleh pengguna. Ukuran saiz minimum tempat letak kereta khas ini adalah 3.6m. Ia adalah termasuk lorong laluan (aisle) bagi pengguna kerusi roda. Perlu menyediakan alat penghalang tayar (pre-cast wheelstop) supaya kereta tidak memasuki bahagian laluan pejalan kaki dan kerusi roda. Selain itu tempat menurunkan pengguna kurang upaya juga diperlukan supaya memudahkan mereka bergerak. Selalunya tempat menurunkan pengguna adalah didepan pintu masuk taman. Kecerunan tempat letak kereta perlulah 1:20 dan berpermukaan seragam serta tidak mengerutu. Papan tanda tempat letak kereta khas perlu disediakan supaya dapat memberitahu pengguna akan kewujudannya. Papan tanda ini perlu menggunakan simbol yang digunakan di peringkat antrabangsa.

7)         Ramp

Permasalahan yang selalu dibangkitkan adalah ketidaksempurnaan rekabentuk ramp, kecerunan ramp yang terlalu curam dan juga kesusahan menghubungkan antara jalan yang berbeza level. Prinsip perancangan yang digunapakai adalah – ”untuk mewujudkan ramp bagi menggantikan tangga. Dengan ini ia dapat menyelesaikan masalah kepada pengguna berkerusi roda dan juga pengguna yang menghadapi masalah berjalan”.

Pertimbangan rekabentuk utama ialah pemilihan lokasi yang sesuai bagi perletakan ramp. Kawasan luar bangunan yang mempunyai kecerunan lebih daripada 1:20 boleh dianggap sebagai ramp. Lokasi yang sesuai adalah di kawasan luar bangunan kerana kawasan yang lebih luas dan mempunyai pelbagai level tanah. Selain itu lokasi yang sesuai ialah bersebelahan dengan tangga. Perlu juga mengetahui jenis-jenis ramp yang sesuai dengan kawasan yang dicadangkan. Kelebaran minimum ukuran saiz ramp adalah 0.9m. Kecerunan maksimum ramp adalah 1:12. Pelantar (landing) untuk berehat perlu disediakan bagi mengelakkan kelajuan yang boleh membahayakan pengguna. Pelantar perlu disediakan setiap 10m dan panjang minimum pelantar adalah 1.2m. Susur tangan (handrail) perlu disediakan pada ramp untuk keselamatan dan keselesaan pengguna. Permukaan ramp perlu tahan lasak dan tidak licin. Ramp juga semestinya mempunyai jaluran penunjuk arah (guide strip) bagi kegunaan golongan buta. Selain menggunakan jaluran penunjuk arah (guide strip), ramp memerlukan kotak tanda yang boleh disentuh (tactile marking) dengan menggunakan tongkat oleh golongan buta.

8)         Tangga

Masalah yang berkaitan dengan tangga ialah kecuraman tangga yang tidak munasabah dan ketidaksempurnaan rekabentuk yang menghalang pergerakan kaki.Prinsip perancangan yang digunakan ialah – ”untuk mewujudkan tangga yang selamat dan selesa kepada semua pengguna terutama sekali kepada pengguna yang mempunyai masalah pergerakan”.

Pertimbangan rekabentuk yang disyorkan ialah tangga yang disediakan perlulah seragam, mempunyai pelantar (landing) dan disesetengah kes boleh dicadangkan elevator atau lift jika tidak mempunyai ramp. Kelebaran minimum adalah 0.9m untuk tangga sehala dan 1.5m bagi tangga dua (2) hala. Tangga juga perlu mempunyai jaluran penunjuk arah (guide strip) bagi kegunaan golongan buta. Selain menggunakan jaluran penunjuk arah (guide strip), tangga juga memerlukan kotak tanda yang boleh disentuh (tactile marking) dengan menggunakan tongkat oleh golongan buta. Pelantar (landing) yang disediakan apabila mempunyai perbezaan level lebih 2.5m. Panjang pelantar (landing) yang dicadangkan adalah 1.2m. Susur tangan (handrail) juga perlu disediakan dikedua-dua belah tangga bagi memudahkan pergerakan. Permukaan tangga perlulah tidak licin bagi keselesaan pengguna.

9)         Pagar dan Susur Tangan (handrail)

Permasalahan yang berkaitan dengan pagar dan susur tangan (handrail) ialah pagar yang digunakan tidak selamat, susur tangan (handrail) yang susah untuk dipegang dan ketiadaan pagar atau susur tangan ditempat yang sepatutnya diletakkan. Prinsip perancangan yang dicadangkan ialah – ”untuk menyediakan pagar yang boleh berfungsi sebagai penghadang keselamatan kepada semua pengguna terutama sekali kepada yang mempunyai masalah pergerakan”.

Pertimbangan rekabentuk adalah menentukan kawasan yang merbahaya di sesuatu tapak. Kawasan yang membahayakan pengguna perlu disediakan pagar keselamatan walaubagaimanapun ia perlulah diletakkan ditempat yang tidak mengganggu pergerakan pengguna. Ketinggian pagar ini perlulah bersesuaian dengan pengguna biasa dan yang menggunakan kerusi roda. Bentuk susur tangan perlulah mudah dipegang dan tidak tajam. Jaluran penunjuk arah (guide strip) bagi kegunaan golongan buta yang disediakan perlulah berada disebelah pagar bagi memudahkan pengguna. Kawasan permainan kanak-kanak juga boleh dicadangkan pagar bagi memudahkan pengawasan.

CADANGAN DAN GARISPANDUAN ELEMEN LANDSKAP UNTUK GOLONGAN KURANG UPAYA BAGI KAWASAN DALAM BANGUNAN AWAM

Di dalam piawaian SIRIM - Kod amalan untuk kemudahsampaian pengguna kurang upaya di dalam bangunan awam (MS 1184) 2002, beberapa terma telah digunapakai iaitu:

1)         Laluan Untuk Golongan Kurang Upaya

Ia bermaksud laluan yang tiada halangan untuk melaluinya atau di antara bangunan yang boleh digunakan oleh pengguna kerusi roda atau seseorang yang mempunyai pergerakan yang terhad.

2)         Alatan Bantuan Untuk Bergerak Bagi Golongan Kurang Upaya

Seseorang yang boleh bergerak tetapi bergantung kepada anggota badan palsu (prostheses), penyokong kaki (calipers), tongkat, tongkat ketiak atau alatan untuk bergerak yang lain, dan seseorang yang mampu bergerak tetapi mempunyai masalah pancaindera seperti buta dan pekak.

3)         Ruang Sirkulasi

Bermaksud ruang panjang atau sempit pada sesuatu bangunan, koridor, lobi, ruang masuk atau ramp yang disediakan antara bahagian bangunan. Untuk kegunaan kerusi roda ruangan yang kosong tanpa halangan tidak kurang daripada 1200mm perlu untuk memudahkan pergerakan. Golongan yang mempunyai masalah penglihatan boleh bergerak menggunakan tongkat dan mengikut dinding yang tegak lurus, tetapi kawasan yang curam perlulah dihindari. Tiang-tiang juga boleh membahayakan golongan ini. Tiang yang direkabentuk perlulah berbentuk bulat supaya dapat mengurangkan risiko kecederaan kepada mereka.

4)         Golongan Kurang Upaya

Merujuk kepada manusia dengan masalah fizikal, pendengaran atau penglihatan yang boleh membataskan pergerakan mereka di dalam bangunan atau alam menggunakan kemudahan yang disediakan.

5)         Ruangan Masuk

Bermaksud ruang yang digunakan oleh seseorang untuk masuk ke dalam bangunan, tetapi tidak termasuk ruangan bawah tanah atau kawasan utiliti. Setiap bangunan awam perlu mempunyai pintu masuk untuk laluan pengguna kerusi roda ke dalam bangunan. Sekurang-kurangnya satu pintu masuk disediakan untuk mereka. Di samping itu pada tingkat ini juga perlu disediakan kemudahan seperti lift. Pintu masuk dan keluar bagi golongan masalah penglihatan perlu dipasang blok penunjuk arah. Pintu yang dilengkapi dengan kemudahan intercom, ketinggian perletakan microphone adalah 1100 – 1300mm dan butang khusus disediakan untuk kegunaan golongan masalah pendengaran.

6)         Blok Pemandu Arah

Jubin khusus yang di gabungkan pada permukaan laluan pejalan kaki, dan susun atur untuk memandu arah kepada golongan yang mempunyai masalah penglihatan. Mereka dapat merasai tekstur pada permukaan blok sebagai tanda arah bagi memudahkan mereka bergerak. Susun atur blok ini perlulah di letakkan di kawasan yang strategik seperti pintu masuk utama. Ia juga boleh disusun mengarah kepada pintu masuk, tempat yang berlainan ketinggian permukaan lantai termasuklah tangga, lift, eskalator, ramp dan lain-lain halangan atau objek yang dapat membahayakan mereka.

Blok pemandu arah yang baik perlulah:
a)     Boleh di rasa dengan kaki (apabila berlaku sentuhan)
b)    Mestilah mudah dipasang dan diselenggara
c)     Tidak mudah gelincir  atau licin
d)    Warna yang kontras dengan permukaan berdekatan

Terdapat 2 jenis blok pemandu arah iaitu:
a)     Blok jenis garisan – menunjukkan arah yang patut diikut
b)    Blok jenis Dot – memberikan amaran berhenti atau menukar arah (untuk mengelakkan mereka pergi ke tempat yang merbahaya)

7)         Landskap
           
Boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu:
a)     Landskap lembut (softscape) – seperti tumbuhan renek dan pokok.
b)    Landskap kejur (hardscape) – seperti perabot, pencahayaan, tong sampah atau bahagian istmewa yang digunakan untuk tujuan hiasan dan lain-lain lagi.

8)         Simbol dan Papan Tanda
           
Simbol – grafik yang mewakili konsep, dan bentuk bahagian papan tanda.
Papan tanda – merujuk kepada rekabentuk yang dapat membantu untuk menyatakan lokasi atau arah ke sesuatu kawasan yang mempunyai kemudahan untuk golongan kurang upaya. Papan tanda yang disediakan perlulah mempunyai saiz yang sesuai, rekabentuk yang efektif dan lokasi perletakan dapat memberi manfaat kepada golongan kurang upaya, di dalam bentuk audio atau visual.

 9)         Laluan vertical
           
Adalah termasuk kemudahan berkenaan:
a)     Ramp di dalam bangunan
b)     Step ramp
c)     Lift yang direkabentuk untuk mengangkut golongan kurang upaya
d)    Kombinasi antara kemudahan (a), (b) dan (c)
e)     Di dalam menyediakan kemudahan bergerak untuk golongan kurang upaya, tangga dan eskalator perlu disediakan

10)        Pengguna Kerusi Roda

Ialah seseorang yang bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak. Ini termasuklah orang yang menggerakkan/menolak kerusi roda, kerusi roda berenjin dan kerusi roda yang digerakkan sendiri oleh pengguna.

11)        Tandas

Setiap bangunan awam perlu menyediakan tandas yang khusus untuk golongan kurang upaya. Tandas yang disediakan perlulah boleh digunakan oleh golongan berkerusi roda. Tandas untuk golongan kurang upaya digalakan berkongsi antara pengguna lelaki dan wanita untuk pembinaan di bangunan awam.

12)        Rak dan dinding

Untuk kemudahan pengguna kerusi roda rekabentuk dan perletakan rak dan dinding perlu mengikut perkara dibawah:

a)     Susunan rak tidak menghalang pergerakan (300 – 400mm dari dinding, ketinggian maksima rak 1500mm dari permukaan lantai, dicadangkan ketinggian yang selesa adalah 450 – 750mm dari permukaan lantai)
b)    Susunan rak dan dinding yang dekat dengan kawasan bekerja (panjang permukaan bekerja yang ideal ialah 550 – 600mm, ketinggian maksimum rak ialah 1250mm dari permukaan lantai, ketinggian maksima tempat bekerja adalah 800mm untuk golongan berkerusi roda)
c)     Ruang yang menyediakan rak untuk tujuan meletakkan benda panas atau mudah terbakar ketinggian maksima adalah 750mm dari permukaan lantai.

13)        Projections, guard rails, bukaan dan jatuhan

Papan tanda yang tergantung, lampu, awning dan objek yang seumpanya adalah terjulur keluar ke ruangan sirkulasi. Minimum ketinggian untuk mengurangkan bahaya adalah 2000mm dari permukaan lantai. Pintu atau tingkap tidak boleh dibuka berdekatan dengan laluan pejalan kaki, koridor, tangga atau ramp kerana ia boleh menghalang laluan. Guard rails mesti disediakan disepanjang laluan drop-off untuk mengelakkan bahaya kepada golongan masalah penglihatan dan orang awam. Objek bukaan dalam apa bentuk sekalipun tidak boleh tinggi daripada 75mm daripada permukaan lantai melalui laluan pejalan kaki, koridor atau lain-lain ruangan untuk bergerak bagi menghindarkan bahaya kepada golongan masalah penglihatan.
  
14)        Kemasan

Kemasan lantai perlulah tidak mudah tergelincir atau licin, mempunyai tekstur untuk sentuhan golongan kurang upaya. Kemasan dibawah adalah disyorkan:

a)    Untuk lokasi yang basah termasuklah permukaan dalaman bangunan yang sering di cuci – perlu konkrit dengan tekstur permukaan yang kasar, konkrit dengan kemasan agregate, konkrit bitumin, batu semulajadi dengan kemasan kasar, bata paving dengan kemasan yang kasar, vinyl untuk permukaan timbul dan getah untuk permukaan timbul.
b)   Untuk lokasi yang kering – termasuklah semua bahan yang sesuai untuk lokasi basah, berpermaidani dan lantai yang menggunakan bahan yang lembut seperti cork, linoleum, vinyl, kayu, terrazzo dan bahan seumpanya.

15)        Susur tangan

Laluan pejalan kaki, koridor, ramp dan tangga, yang boleh dilalui oleh pengguna kerusi roda dan golongan kurang upaya yang lain memerlukan susur tangan dengan ciri-ciri tersebut:

a)  Susur tangan yang mempunyai ketinggian 840 – 900mm daripada permukaan lantai, dilebihkan 300mm panjang untuk susur tangan tangga dan ramp.
b)    Tidak mempunyai halangan ke atas pemegang disepanjang susur tangan.
c)    50 – 100mm daripada dinding terdekat.
d)    Memilih untuk menggunakan warna yang kontras dengan dinding.
e)  Boleh menampung beban minimum 100kg dan diletakkan di kedua-dua belah tangga, ramp atau laluan pejalan kaki.

16)        Tangga

Tangga hanya disediakan untuk laluan bebas sesetengah golongan kurang upaya. Antara kemudahan lain yang boleh digunakan untuk memberikan laluan vertical kepada golongan kurang upaya adalah ramp dan lift. Tangga perlu mempunyai ciri-ciri tersebut iaitu:

a)     Jumlah ketinggian tangga tidak melebihi 2000mm
b)    Perubahan level tidak boleh melebihi 180mm
c)     Tread dan riser tangga perlu diseragamkan
d)    Garisan hujung tangga perlu berbentuk bulat dan berjejari 10 – 15mm dan seragam setiap anak tangga
e)     Lapped anak tangga tidak melebihi 25mm
f)     Tempat berehat tangga dan permukaan lantai perlu mempunyai warna yang kontras, cerah atau bertekstur.
g)    Tidak boleh ada pintu atau tingkap yang boleh dibuka melintasi tangga kerana boleh menghalang menaiki atau menuruni tangga.
h)     Tangga perlu mempunyai susur tangan di kedua-dua belah bahagian
i)      Jarak antara susur tangan pada tangga tidak boleh kurang daripada 900mm (jarak dari bahagian kiri ke kanan tangga)

KESIMPULAN

Pada keseluruhannya dapat disimpulkan bahawa penyediaan kelengkapan atau kemudahan kepada golongan kurang upaya dapat memberikan manfaat kepada semua. Ini adalah kerana selain daripada memberi keselesaan kepada golongan kurang upaya secara tidak langsung ia juga memperbaiki sistem keselamatan sesebuah taman dan bangunan awam itu. Untuk menjadikan ianya realiti kita perlulah sentiasa memikirkan cadangan terbaik untuk keselesaan dan kegunaan golongan kurang upaya. Pelbagai promosi tentang perlunya kemudahan kepada golongan kurang upaya perlu diadakan bagi menggalakkan arkitek landskap dan arkitek menjadi lebih prihatin kepada persekitaran. Dari aspek sosial pula, dengan menyediakan kemudahan ini ia, secara tidak langsung menggalakkan interaksi antara semua pihak tidak kira terdiri di dalam golongan normal atau kurang upaya. Bagaimanapun pengimplimentasian kemudahan bagi pengguna kurang upaya perlulah mengikut piawaian dan garispanduan yang telah disediakan oleh pihak yang berwajib. Garis panduan dan piawaian yang dihasilkan ini adalah bagi kegunaan semua pihak terutamanya Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam merancang dan membantu agensi pelaksana menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh golongan kurang upaya yang secukupnya dalam sesuatu kawasan pembangunan. Akhir sekali saya mengharapkan agar pada suatu masa seluruh taman dan bangunan awam yang telah dibina dan yang akan dibina lengkap dengan kemudahan untuk golongan kurang upaya kerana ianya dapat memberikan manfaat yang banyak kepada kita semua.
  
RUJUKAN

LEMBAGA PENYELIDIKAN UNDANG-UNDANG (2006), Undang-Undang Kecil Bangunan
Seragam 1984, International Law Book Services, Petaling Jaya, Malaysia

O’MORROW, G.S, (1976), Therapeutic Recreation – A Helping Profession.
ROBINETTE.G.O. (1985), Barrier Free Exterior Design, Van Nostrand Reinhold Company, New York, USA.

STANDARD  & INDUSTRIAL RESEARCH INSTITUTE (1991), Malaysia Standard MS 1331:
Code of Practice for Access for Disabled People Outside Building, SIRIM, Shah Alam, Malaysia.

STANDARD  & INDUSTRIAL RESEARCH INSTITUTE (2002), Malaysia Standard MS 1184:
Code of Practice for Access for Disabled People Public Building, SIRIM, Shah Alam, Malaysia.

JABATAN PERANCANGAN BANDAR DAN DESA SEMENANJUNG MALAYSIA, (2002),
Planning Guidelines and Standards – Facilities of the Disabled, Ministry Of Housing And Local Government Malaysia, Malaysia.

No comments:

Post a Comment